Kalau awak FOLLOW, saya follow sekali !

KliK Ini Sekali taw ! SEKALI JER :)

Thursday, July 7, 2011

GEOGRAFI 1 - PINGGIR PANTAI

PINGGIR
PANTAI





Peta
Konsep:





                                                                                Istilah pantai.





                                                                                Agen Geomorfologi pantai.





                        Geomorfologi Pantai.                       Jenis-jenis ombak dan
arus.





                                                                                Proses hakisan pantai.





                                                                                Proses pengangkutan dan


                                                                                Pemendapan di pantai.





                                                                                Bentuk bumi yang terhasil.





                                                                                 Penjanaan
hakisan pantai


                                                                                Oleh manusia dan langkah


                                                                                Mengatasinya.





A.        Konsep zon pinggir pantai dan agen geomorfologi yang
bertindak.





  • Zon pinggir pantai ialah zon antara tikas air
         pasang dengan tikas air surut. Agen geomorfologi yang bertindak ialah
         seperti ombak, arus pesisir pantai, arus pasang surut dan juga angin.
  • Agen geomorfologi ini boleh bertindak menghakis,
         mengangkut dan memendapkan bahan-bahan yang dibawanya di pinggir pantai.











B.        Faktor-faktor yang mempengaruhi tindakan ombak di pinggir
pantai.





  • Halaju angin yang tiba di pinggir pantai dan juga
         orientasi pantai samada terdedah atau terlindung daripada tiupan angina
         kencang.
  • Faktor kuantiti dan kualiti bahan/muatan yang
         dibawa oleh ombak dan agen-agen yang lain.
  • Faktor geologi di tebing cenuram yang mengadap
         ombak samada keras atau lembut.
  • Faktor halaju arus sungai dan ombak apabila
         bertenbung di muara.
  • Faktor tindakan manusia seperti aktiviti
         penyahutanan hutan bakau dan aktiviti memperdalamkan muara.





C.        Hakisan ombak dan bentuk bumi yang terhasil.





  • Ombak menghakis pantai melalui empat cara iaitu;
         hakisan lagaan, hakisan hidraulik, hakisan geselan dan hakisan larutan.
  • Bentuk-bentuk bumi yang terhasil ialah seperti
         tebing tinggi dan pentas hakisan ombak, gua, gerbang laut, batu tunggul,
         tunggul sisa, gloup dan geo.





D.        Pengangkutan dan pemendapan ombak serta bentuk bumi yang
terhasil.





  • Muatan ombak diangkut secara golekan, lompatan,
         ampaian dan larutan dan pemendapan akan berlaku apabila halaju arus
         berkurangan.
  • Proses pengangkutan dan pemendapan kebanyakannya
         dilakukan oleh arus pesisir pantai yang menghasilkan bentuk-bentuk seperti
         pelbagai jenis beting pasir, anak tanjung dan tombolo.





E.        Aktiviti manusia
yang menjejaskan zon pinggir pantai dan langkah mengatasinya.





  • Aktiviti seperti penyahutanan hutan pantai untuk
         dibina resort, chalet, hotel, padang
         golf dan juga kolam ternakan disamping aktiviti pengambilan pasir laut
         yang akan meningkatkan kadar hakisan zon pinggir pantai.
  • Mengadunkan langkah perundangan, amalan pengurusan
         dan juga kempen kesedaran.


Unit 2.6.1:       Proses
Geomorfologi di Pinggir Pantai dan Faktor-Faktor Yang Mempengaruhinya.





A.        Konsep Zon Pinggir  Pantai dan Agen-agen Geomorfologi Yang
Bertindak di Zon Pinggir pantai.





 1.        Pada
umumnya pantai adalah zon yang terletak di antara tikas air pasang dengan tikas
air surut ombak. Secara khususnya pantai merupakan satu jalur linear
daratan  yang terdiri daripada timbunan
bahan mendak yang peroi seperti pasir, kulit-kulit kerang dan siput, lumpur dan
kelodak yang berasal dari laut dan sungai. Di antara contoh-contoh pantai
berpasir yang bersih dan indah adalah seperti pantai di pulau-pulau Langkawi,
pantai Mersing di Johor, pantai Cerating di Pahang, pantai Batu Buruk di
Terengganu dan lain-lain lagi.


2.             Terdapat pelbagai agen geomorfologi
yang bertindak di zon pinggir pantai. Antaranya ialah:





                a)            Ombak. Ombak boleh dibahagikan kepada ombak pembina dan
ombak pembinasa. Ombak pembina mengangkut dan memendapkan bahan muatannya di
pinggir pantai lalu membentuk jaluran pantai yang lebar manakala ombak
pembinasa pula menghakis dan memusnahkan jaluran pantai yang telah dibina oleh
ombak pembina tadi. Ombak pembinasa biasanya berlaku ketika ribut seperti pada
musim tengkujuh atau gelombang 
Tsunami
yang disebabkan oleh gempa bumi dan gerakan tektonik di dasar laut.





                b)            Arus. Terdapat pelbagai jenis arus seperti arus pesisir
pantai dan arus pembalik dasar. Arus pesisir pantai  atau dikenali juga sebagai hanyutan pesisir
pantai  terhasil daripada perbezaan sudut
damparan dan balikan ombak. Arus ini akan bergerak di sepanjang garis pantai
dan mengangkut bahan pantai secara
“Zig – Zag”.
Arus –arus lautan yang lain pula terbentuk akibat perubahan arah tiupan dan
biasan angin  lazim serta kesan daya
koriolis putaran bumi.





                c)             Arus pasang - surut. Agen pasang dan surut juga boleh
mempengaruhi bentuk-bentuk muka bumi di zon pinggir pantai khususnya di kawasan
muara sungai. Pasang dan surut terjadi akibat putaran bumi di atas paksinya.





                d)            Tindakan angin. Di zon luar pesisir yang tidak dicapai
oleh tikas air pasang biasanya dipengaruhi oleh tindakan angin. Angin boleh
mengangkut, memendap dan memusnahkan bentuk-bentuk yang ada di zon luar pesisir
ini. Di antara contoh bentuk bumi yang terhasil ialah bukit-bukit pasir yang
dikenali sebagai diun atau gumuk pasir.





B.        Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Proses
Geomorfologi Pinggir Pantai.





Di
antara ke empat-empat agen geomorfologi di atas, tindakan ombak dan arus
merupakan tindakan yang paling dominan dan berkesan dalam membentuk, mengukir
dan mengubah bentuk-bentuk bumi di pinggir pantai. Kedua-dua agen geomorfologi
di atas akan menghakis, mengangkut dan memendapkan bahan-bahan yang dibawanya.
Proses-proses hakisan, pengangkutan dan pemendapan ini dipengaruhi oleh
faktor-faktor berikut:





                a)            Halaju angin yang akan menentukan saiz dan kekuatan
ombak.  Tiupan angin yang perlahan
membolehkan ombak pembina terbentuk untuk memendapkan muatannya. Manakala angin
kencang seperti ribut akan menghasilkan ombak pembinasa yang bertindak
menjalankan hakisan ombak.





                b)            Orientasi pantai samada terdedah atau terlindung . Pantai
yang terdedah secara langsung kepada serangan ombak seperti kawasan pantai
timur Semenanjung Malaysia
akan mengalami kadar hakisan yang kuat terutamanya pada musim tengkujuh.
Sebaliknya pantai yang terlindung seperti oleh pulau akan mengalami kadar pemendapan
yang tinggi kerana di kawasan ini halaju ombak menjadi perlahan.





                c)             Kedalaman air di kawasan pantai. Kawasan air dalam
seperti di kawasan pantai berteluk akan mengalami kadar hakisan yang tinggi
sebaliknya kawasan pantai cetek, ombak akan kehilangan tenaga akibat geseran
dengan dasar pantai  dan kesannya kadar
pemendapan pula menjadi tinggi..





                d)            Faktor geologi yang membentuk cerun pantai. Seperti jenis
dan ketahanan batuan serta struktur cerun tersebut. Jika pantai dibentuk oleh
batuan yang keras maka ia akan tahan dihakis oleh ombak dan pantai ini
berbentuk tanjung. Manakala pantai yang berbatuan lembut, mudah dihakis dan ia
akan berbentuk teluk.














                e)             Kuantiti dan kualiti bahan/muatan yang dibawa oleh
ombak. Jika ombak membawa muatan yang keras seperti batu kerikil dan batu
tongkol maka kadar hakisan pantai akan meningkat kerana bahan-bahan tersebut
akan bertindak sebagai alat penghakis yang berkesan. Sebaliknya jika ombak
membawa batuan yang lembut dalam kuantiti yang banyak seperti batu lada,
kulit-kulit kerang dan siput serta pasir laut akan mempengaruhi pula kadar
pemendapan di pingir pantai berkenaan.





                f)             Pertembungan arus laut dengan arus sungai. Pertembungan
ini biasanya berlaku di muara. Akibat pertembungan maka ke dua-dua arus
berkenaan akan kehilangan tenaga lalu memendapkan bahan-bahanya di dasar muara
berkenaan. Kadar pemendapan bergantung kepada kuantiti bahan yang di bawa oleh
ke dua-dua arus tadi.





                g)             Perbezaan antara tikas air pasang dengan tikas air surut
air laut. Semakin besar perbezaan ini maka zon yang boleh dihakis dan
dimendapkan menjadi semakin lebar. Tikas air pasang yang tinggi dan tikas air
surut yang rendah di muara akan mempengaruhi kelebaran bahan muatan yang akan
dimendapkan dan seterusnya kelebaran delta yang akan terbentuk.








C.        Faktor- Faktor Yang Menyebabkan
Kelandaian dan Kecuraman Cerun Pantai.





Terdapat
pelbagai faktor yang mempengaruhi kecuraman dan kelandaian sesebuah pantai.
Keadaan profil pantai yang curam atau landai juga boleh berubah-ubah mengikut
masa. Kecerunan pantai tidak kekal sesuai dengan pantai itu sendiri yang
dinamik sifatnya. Di antara sebab-sebab ada pantai yang curam dan landai ialah;





1.             Kepelbagaian jenis dan saiz bahan
mendak (sedimen) yang di bawa oleh ombak. Bahan mendak yang kasar seperti kulit
kerang/siput, kerikil dan bijian pasir yang besar dan kasar akan membentuk
cerun pantai yang curam. Manakala bijian pasir yang halus akan membentuk cerun
pantai yang landai. Sebenarnya daripada segi taburan bijian pasir yang ada di
sesebuah cerun pantai menunjukkan bijian kasar di sebelah atas cerun dan
semakin halus menghala ke gigi air. Justeru itu cerun pantai juga lebih curam
di bahagian atas berbanding dengan bahagian bawahnya. Hal ini berlaku kerana
tenaga damparan (swash) ombak lebih tinggi semasa menghempas pantai untuk
melontar bijian pasir ke atas berbanding dengan tenaga lurutannya yang hanya
mampu menarik turun bijian yang halus sahaja. Tenaga lurutan ombak yang lemah
disebabkan oleh geseran lurutan (backwash) ombak dengan permukaan pantai itu
sendiri.





2.             Faktor jenis dan kekuatan ombak.
Tenaga ombak memainkan peranan penting dalam mengubah cerun pantai. Ombak
pembinasa atau dikenali sebagai ombak junam yang berlaku pada musim
tengkujuh/ribut mempunyai tenaga kinetik yang kuat untuk menghempas dan
memusnahkan cerun pantai. Selepas ombak ini berlaku cerun pantai yang landai
bertukar menjadi  lebih curam, profil
rentas  pantai juga menjadi lebih pendek
kerana ombak ini mempunyai kuasa hakis-angkut yang kuat. Sekiranya ombak
pembina atau ombak limpah tiba di sesebuah pantai maka banyak bahan-bahan
enapan akan ditimbunkan lalu menghasilkan pantai-pantai yang lebih landai
cerunnya.





3.             Faktor orientasi pantai samada
terdedah atau terlindung. Pantai yang terbuka dan terdedah kepada lautan luas
tanpa ada halangan dari pulau-pulau biasanya akan menghasilkan cerun yang lebih
curam kerana di kawasan pantai ini mengalami tenaga ombak dan arus yang kuat
berbanding dengan pantai yang terlindung. Misalnya pantai-pantai di kawasan
pantai barat semenanjung Malaysia
lebih landai sifatnya berbanding dengan pantai-pantai di pantai timur
semenanjung. Ini kerana di zon pantai barat pantainya dilindungi oleh kepulauan
sumatera Indonesia
dari pengaruh monson barat daya. Halangan oleh kepulauan sumatera menyebabkan
tiupan angin monson barat daya menjadi lebih perlahan sekaligus kekuatan
ombaknya juga perlahan. Sebaliknya di zon pantai timur, pantainya terdedah
terus ke laut China Selatan yang menerima secara langsung pengaruh angin monson
timur laut tanpa ada halangan.











4.             Faktor  manusia. Aktiviti manusia juga boleh
mempengaruhi kecerunan pantai. Aktiviti-aktiviti seperti penebangan hutan
pantai seperti hutan bakau, rhu dan nipah untuk didirikan chalet dan resort
atau aktiviti pengambilan pasir di tepi pantai dan aktiviti memperdalamkan
muara sungai akan menyebabkan cerun pantai menjadi lebih curam. Ini kerana
kawasan pantai tersebut akan mengalami hakisan yang kuat oleh ombak dan arus
bagi mengimbangi kawasan pasir yang dikorek tadi. Sebaliknya aktiviti penyuburan
pantai dengan menanam pokok-pokok rhu dan bakau, membina benteng pemecah ombak
(Groin dan Gabion) akan menambahkan pasir-pasir di tepi pantai seterusnya cerun
pantai menjadi lebih landai.





5.             Pengaruh arus. Selain ombak, arus
juga beroperasi di kawasan pantai. Misalnya arus pasang surut yang bergerak
selari dengan garis pantai. Jika sesebuah pantai itu terletak berdekatan atau
bersebelahan dengan muara sungai maka arus pesisir pantai akan membawa banyak
bahan enapan dari muara yang kebanyakkanya terdiri daripada kelodak dan Lumpur
untuk dimendapkan di pesisir pantai tersebut. Semakin banyak kadar penimbunan
maka cerun pantai menjadi semakin landai. Justeru pantai-pantai yang berlumpur
sebenarnya lebih landai berbanding dengan pantai yang berpasir kerana ia
mempunyai kuantiti, mengalami serakan dan timbun-tambah bahan sedimen yang
lebih banyak.








            Proses
dan Kesan atau Bentuk Muka Bumi Yang Terhasil





A.        Proses Hakisan Ombak dan Bentuk Muka
Bumi Yang Terhasil.





Sepertimana
sungai, mekanisme hakisan ombak juga berlangsung melalui empat cara iaitu ;
Tindakan Hidraul, Tindakan Kikisan atau Geselan, Tindakan  Lagaan dan Tindakan Larutan.





1.             Tindakan Hidraul (Hydraulic action). Tindakan hakisan yang disebabkan oleh kuasa air laut
itu sendiri tanpa melibatkan bahan/muatan yang dibawanya. Ombak yang menghempas
pantai (swash) yang berbatu akan memasuki rekahan-rekahan yang ada pada batuan
di tepi pantai seperti di kaki cenuram atau di tanjung. Apabila air laut
memasuki dan memenuhi rekahan batuan maka ia akan memampatkan udara yang ada di
dalam rekahan tersebut dan rekahan akan mengalami pengembangan. Apabila ombak
mengundur (backwash) pula maka udara yang ada dalam rekahan tadi menguncup dan
rekahan mengalami kenduran. Proses pengembangan dan pengucupan yang berulang
kali yang dialami oleh rekahan batuan akibat swash dan backwash yang bersilih
ganti lama kelamaan rekahan akan menjadi lebih luas dan dalam dan akhirnya
memecah dan meruntuhkan cenuram atau tanjung berkenaan.





2.             Tindakan Kikisan atau Geselan
(Corrasion).
Tindakan ini melibatkan
bahan-bahan/muatan yang dibawa oleh ombak dengan batuan di kaki cenuram atau
tanjung yang mengadap ombak. Bahan ombak seperti batu pasir, kerikil, batu
lada, serpihan batuan akan bertindak sebagai alat penghakis untuk menggesel dan
menghauskan kaki cenuram tadi. Keberkesanan tindakan ini amat bergantung kepada
kekerasan bahan yang dibawa oleh ombak itu. Tanpa bahan ombak yang bertindak
sebagai alat penghakis, maka proses kikisan ini tidak akan terjadi.





3.             Tindakan lagaan (Attribution). Ialah
satu proses hakisan yang melibatkan perubahan saiz dan bentuk  pada bahan-bahan pantai apabila mereka
berlanggar dan berlaga sesama sendiri sehingga ia pecah dan saiznya menjadi
kecil. Misalnya batu tongkol bertukar menjadi serpihan-serpihan prismatic yang
lebih kecil akibat perlanggaran. Perlanggaran berlaku dalam dua arah iaitu ke
atas dan ke bawah semasa damparan dan semasa lurutan ombak.





4.             Tindakan larutan (Solution). Ialah
satu proses hakisan laut secara kimia dimana air laut bertindak melarutkan
mineral batuan yang ada di pinggir pantai. Terutama sekali mineral yang mudah
larut dan bersifat menyerap air seperti kalsium karbonat dalam batu kapur dan
dolomit. Air laut bertindak sebagai pelarut, mineral batuan bertindak sebagai
bahan larutan dan biasanya menghasilkan komposisi mineral yang baru yang
dikenali sebagai hasil larutan. Sebagai contoh jika mineral kalsium karbonat
akan menjadi kalsium hidrogen karbonat atau kalsium bikarbonat.





Bentuk Bumi Akibat
Hakisan Ombak.





Sila lukis sendiri. Rujuk buku
Teks Pra-U Alam Sekitar Fizikal STPM oleh Rusly Musa.








B.        Proses Pengangkutan dan Pemendapan Ombak
serta Bentuk Bumi Yang Terhasil





1.             Sebelum berlakunya proses
pemendapan bahan-bahan pantai akan mengalami pengangkutan. Terdapat pelbagai
jenis bahan pantai yang diangkut dengan cara yang berbeza oleh ombak dan arus.
Antaranya ialah:





a)                  Batu tongkol (Boulder) dan batu lada
yang berukuran antara 200 hingga 600 mm akan diangkut dengan cara seretan atau
golekan.


b)                  Batu kerikil yang
bersaiz antara 20 hingga 60 mm akan diangkut secara lompatan (saltasi).


c)                  Batu pasir yang
halus dan sederhana yang berukuran antara 0.06 hingga 2 mm diangkut dengan cara
lompatan.


d)                  Kelodak dan tanah
liat yang halus yang berukuran antara 0.002 hingga 0.06 mm akan diangkut dengan
cara ampaian atau apungan.





2.             Proses pengangkutan bahan-bahan
pantai oleh ombak ini berlangsung dalam dua arah. Pertama pergerakan ke atas
semasa  damparan ombak dan ke dua
pergerakan ke bawah semasa lurutan ombak. Bahan-bahan ini akan digerak secara
berulang-ulang kali mengikut pergerakan damparan (swash) dan lurutan (bacawash)
ombak. Bagi menghuraikan pergerakan naik-turun bahan pantai ini maka W.V.Lewis
(1931) telah memperkenalkan dua jenis ombak yang berbeza sama sekali dalam
mempengaruhi proses pengangkutan bahan pantai. Dua jenis ombak tersebut ialah
ombak Pembina dan ombak Pembinasa.





3.             Ombak Pembina (Constructive
waves).  Ialah sejenis ombak panjang yang
rendah dengan selang masa kejadian antara 8 hingga 10 saat dan kekerapannya
antara 6 hingga 10 kali dalam seminit. Ia merupakan gelombang limpah yang
mempunyai damparan yang kuat tetapi lurutannya adalah lemah. Justeru itu, ombak
pembina mempunyai keupayaan untuk membawa dan menyebarkan bahan ke atas pantai
dengan banyak tetapi membawa balik semasa lurutannya adalah sedikit sahaja.
Kesannya kadar pemendapan oleh ombak Pembina adalah tinggi berbanding dengan
kadar hakisannya. Ombak ini lazimnya berbentuk wujud ketika laut tenang dengan
tiupan angin lazim yang lemah.





4.             Ombak pembinasa (Destructive waves)
. Ialah sejenis ombak pendek yang lebih tinggi dengan selang masa kejadian
antara 4 hingga 5 saat dan kekerapannya antara 12 hingga 15 kali seminit. Ia
merupakan gelombang junam yang mempunyai damparan yang perlahan tetapi lurutan
yang kuat. Justeru itu ombak pembinasa berkeupayaan untuk membawa balik dengan
banyak bahan pantai kembali semula ke laut semasa lurutannya berbanding dengan
keupayaan untuk mengangkut dan melemparkan muatan ombak ke atas pantai.
Kesannya ombak ini lebih banyak menghakis daripada memendap. Fenomena ombak
pembinasa lazimnya berlaku semasa ribut atau musim tengkujuh.





5.             Selain ombak, pengangkutan
bahan-bahan pantai juga dilakukan oleh arus pesisir pantai yang bergerak selari
dengan garis pantai mengikut arah tiupan angin lazim. Arus pesisir pantai
(Longshore Drift) terjadi akibat damparan ombak yang membawa muatannya tiba di
pantai dalam keadaan sudut serong manakala lurutannya pula berkeadaan sudut
tepat dengan garis pantai. Kejadian ini menghasilkan pergerakan bahan pantai secara
“Zig –Zag” di atas pantai. Arah pergerakan hanyutan pesisir pantai ini
berubah-ubah mengikut musim dan arah tiupan angin lazim.





Bentuk-bentuk Bumi
Hasil Pemendapan Ombak.





1.             Pantai.   Pantai ialah satu  kawasan pinggir laut yang terletak antara
tikas air surut yang terendah dengan tikas air pasang yang tertinggi. Pantai
yang terbentuk dengan sempurna dan ideal biasanya terdiri daripada beberapa
bahagian iaitu pertama, pantai ribut yang terletak pada aras yang paling tinggi
dan terdiri daripada timbunan batu lada yang kasar, ke dua ialah permatang
pantai atau berm hasil longgokan batu kelikir oleh ombak pembina, ke tiga ialah
bucu pantai yang merupakan pemisah antara bahagian atas pantai yang bercerun
curam dengan bahagian bawah pantai yang bercerun landai, ke empat ialah riak
pasir yang terletak di bahagian bawah pantai yang bercerun landai,  dan  ke
lima ialah permatang yang rendah dan beralur-alur kecil .





2.             Bahan-bahan yang  membentuk pantai pada dasarnya berasal
daripada dua sumber utama, pertama dari kawasan daratan yang diangkut oleh
sungai seperti bahan regolit luluhawa dan juga bahan hakisan. Selain itu bahan
daratan juga di bawa oleh angin seperti debu dan pasir yang dimendapkan di
pantai. Kedua bahan yang berasal dari laut seperti pasir, batu lada.
Kulit-kulit kerang yang diangkut dan dimendapkan oleh ombak. Namun begitu bahan
dari laut adalah lebih banyak berbanding dengan bahan daratan.





3.             Beting pasir. Iaitu semua bentuk
permatang pasir dan batu kerikil yang ditimbunkan oleh ombak di pinggir laut.
Beting pasir terdiri daripada beberapa jenis seperti beting pasir luar pantai,
beting pasir muka teluk dan juga tombolo. Beting pasir luar pantai merupakan
permatang pasir yang rendah dan selari dengan garis pantai. Beting pasir ini
terletak di zon ombak pecah dan di pisahkan dari pantai oleh kawasan laut yang
cetek dikenali sebagai lagun.  Ia
dibentuk oleh ombak junam yang pecah lantas mewujudkan putaran, menggali pasir
dan memendapkan di sebelah belakangnya. Sifat beting pasir ini tidak kekal, ia
akan musnah apabila ditimpa oleh ombak ribut.





4.             Selain itu beting pasir muka teluk
pula terbentuk di kawasan pantai yang berteluk-teluk dan hampir menutupi muka
teluk dari laut lepas. Sekiranya proses pemendapan berlaku dari dua arah yang
bertentangan sehingga menyebabkan hujung beting pasir tersebut bersambung ia
akan mewujudkan beting pasir bucu pantai. Dalam keadaan tertentu  arus  pesisir pantai boleh mengangkut dan
menyebarkan beting pasir dari pantai hingga bersambung dengan pulau yang
berdekatan. Bentuk ini dinamakan sebagai Tombolo.





5.             Anak tanjung. Anak tanjung juga
merupakan bentuk hasil penimbunan ombak dan arus pesisir pantai. Ia merupakan
permatang yang bersambung dengan pantai dan hujungnya menganjur masuk ke laut.
Anak tanjung boleh terbentuk dalam keadaan-keadaan berikut. Pertama, apabila
terdapat perubahan pada garis pantai dari lurus ke melengkung  ke dua terdapat garis pantai yang  berteluk atau bermuara. Pembentukannya
berkait rapat dengan arus pesisir pantai yang mengangkut bahan enapan di
sepanjang garis pantai. Apabila tiba di bahagian pantai yang melengkung atau
berteluk/muara maka arus pesisir pantai akan terlajak  dan tenaganya menjadi lemah. Kesannya ia akan
memendapkan bahan-bahan yang dibawa disepanjang lajakannya  tadi dan bentuk pemendapan seolah-olah
seperti taji. Proses yang berterusan anak tanjung boleh berkembang menjadi
lebih rencam dan kompleks








6.             Bukit-bukit pasir. Selain ombak dan
arus, agen geomorfologi yang berpengaruh di pinggir pantai ialah angin.
Tindakan angin amat berkesan di zon lepas pesisir. Di antara bentuk yang
penting akibat pemendapan angin ialah bukit-bukit pasir atau diun pasir. Di
bawah keadaan yang sesuai bukit pasir boleh terbentuk dan berkembang dengan
baik dan ketinggiannya meningkat antara 5 hingga 15 meter. Bentuk bukit pasir
juga berbeza-beza antara satu sama lain. R.J Small (1970), menggariskan
beberapa factor yang mempengaruhi perkembangan bukit pasir antaranya ialah, (a)
adanya kemaraan pantai pada penghujung teluk yang berpasir, (b) adanya
longgokan atau timbunan batu lada, beting pasir dan anak tanjung dan (c) adanya
permukaan cerun atau tebing tinggi yang mengadap ke laut. Pada asasnya
bukit-bukit pasir ini juga tidak kekal dan sering kali musnah atau berubah
apabila adanya tiupan angin kencang atau ribut.





            Kesan
Aktiviti Pembangunan Manusia ke Atas Pinggir Pantai dan Langkah Mengatasinya.





A.        Aktiviti Pembangunan Manusia dan
Kesannya.





1.             Memang tidak dapat dinafikan zon
pinggir pantai merupakan satu zon yang strategi untuk melaksanakan aktiviti
pembangunan. Justeru itu terdapat pelbagai bentuk pembangunan telah dijalankan
di kawasan ini seperti pembangunan pelancongan, pembangunan petempatan dan
bandar, pembangunan industri dan pelabuhan, pertanian akuakultur dan sebagainya
yang melibatkan pemusnahan sumber-sumber semulajadi secara besar-besaran
khususnya pemusnahan hutan bakau. Akibat tumpuan pembangunan yang melampau
terhadap zon ini maka ia kini menghadapi satu permasalahan fizikal yang agak
serius
iaitu
meningkatnya kadar hakisan pinggir pantai yang menyebabkan saiz pantai semakin
sempit.





2.             Sesebuah pantai yang cantik
sebenarnya terbentuk hasil daripada kombinasi proses-proses geomorfologi yang
telah dibincangkan di atas tadi. Pada asalnya jika zon pinggir pantai tidak
diganggu gugat secara melampau oleh manusia maka sifat fizikal pantai  akan dapat dikekalkan. Ini kerana secara
semulajadi segala proses geomorfologi yang bertindak akan sentiasa berada pada
tahap keseimbangan (equalibirium). Tetapi kerakusan manusia yang telah
membangunkan kawasan pantai secara berlebihan tanpa melaksanakan proses
pemeliharaan dan pemuliharaan yang sistematik telah menyebabkan keseimbangan
proses-proses geomorfologi tergugat. Pantai semakin terhakis dan sempit.
Manusialah sebenarnaya bertanggungjawab menjana dan mempercepatkan lagi kadar
hakisan di zon pinggir pantai.


3.             Mengikut Prof. Aziz Ibrahim, Ketua
Pengarah National Hydraulic Research Institute of Malaysia (NAHRIM),
kini terdapat sekurang-kurangnya 74 tempat di sepanjang pantai di negara ini yang
menghadapi resiko hakisan yang serius. Semuanya berpunca daripada perbuatan
manusia sendiri. 74 tempat ini, bila diambil kira kesemuanya merupakan satu
pertiga daripada keseluruhan pantai negara ini iaitu lebih kurang 4800
kilometer. Hakisan yang paling teruk berlaku adalah di pantai timur
semenanjung. Ada
bahagian-bahagian jalan raya yang telah rosak di sebabkan hakisan pantai yang
telah sekian lama berlarutan. Prof. Aziz menambah, ada dua bentuk hakisan
pantai yang berlaku di negara ini. Pertama hakisan yang berlaku sedikit demi
sedikit – hakisan biasa akibat fenomena semulajadi dan keduanya hakisan secara
cepat, mendadak atau hakisan luar biasa akibat perbuatan manusia sendiri. Di
antara contoh-contoh pantai yang terhakis secara mendadak akibat pembangunan
manusia ialah seperti di Pantai Kelebang Melaka, Pantai Tanjung Karang Selangor
yang berpunca daripada pemusnahan hutan bakau dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di
Kelantan yang berpunca daripada kerja-kerja memperdalamkan muara di Pengkalan
Datu semenjak pertengahan 80-an lagi.


 


4.             Kajian oleh National Erosion
Study 1985
, menunjukkan bahawa hakisan sepanjang garis pantai Malaysia
adalah meluas, giat dan serius sekali. Sekurang-kurangnya 1300 km (atau 27%) daripada 4800 km garis pantai Malaysia
mengalami hakisan. Kadar hakisan pantai yang giat kebanyakannya menjejaskan
kawasan-kawasan pertanian, perumahan, kemudahan pengangkutan, tempat-tempat
pelancongan dan reakreasi. Laporan  ini
juga menyebut bahawa kadar hakisan di kawasan-kawasan kritikal adalah di sekitar
3 – 4 meter setahun dan ada juga yang mencapai 100 meter setahun seperti di
Balik Pulau, Pulau Pinang. Di antara contoh-contoh pantai di Malaysia yang giat
terhakis ialah seperti Pantai Kuala Kedah dan Pantai Merdeka, Pantai Tanjung
Dawai dan Batu Feringgi di Pulau Pinang, Pantai Morib di Selangor, Desaru dan
Pantai Remis di Johor, Pantai Kuala Dungun, Kuala Kemaman, Kuala Terengganu
hingga ke Kuala Ibai di Terengganu serta Pantai Cahaya Bulan, Pantai Sabak dan
Pantai Seri Tujuh di Kelantan.





5.             Terdapat beberapa aktiviti manusia
yang dikenalpasti meningkatkan lagi kadar hakisan pantai. Antaranya ialah
seperti pembangunan pelancongan (pembinaan hotel,resort padang golf dll), pemusnahan hutan bakau
untuk pelbagai tujuan, aktiviti pengorekan pasir seperti memperdalamkan
pelabuhan, pengambilan pasir laut/pantai untuk pelbagai projek pembinaan dan
lain-lain yang berkaitan. Kepesatan pembangunan pelancongan telah mendedahkan
zon pinggir pantai kepada agen-agen geomorfologi secara berterusan terutama
sekali di peringkat awal kerja-kerja pembinaan hotel, resort, chalet dan
sebagainya. Ini disebabkan oleh penebangan pokok-pokok pelindung pantai bagi
tujuan membina pelbagai bangunan yang berkaitan. Sebelum zon pinggir pantai
dipulihkan kembali melalui kaedah “penyuburan pantai” dengan ditanam
pokok-pokok pelindung maka sudah tentu zon pinggir pantai tersebut terhakis
teruk. Kajian yang dijalankan di Pulau Langkawi yang merupakan salah satu
kawasan yang pesat membangun dengan sektor pelancongan di Malaysia mendapati
bahawa 17.3% daripada pengusaha penginapan di kawasan pinggir pantainya
mengalami masalah hakisan pantai. Di antara pantai yang mengalami masalah
hakisan di Langkawi ialah Pantai Tanjung Rhu, Pantai Chenang dan juga Pantai
Kuala Teriang. Bagi pengusaha hotel, resort dan chalet berkenaan usaha yang
dilakukan untuk mengurangkan kadar hakisan berkenaan ialah dengan menanam lebih
banyak pokok, pembinaan benteng konkrit, menambak pasir di kawasan yang
terhakis dan “back filling”.





6.             Selain itu pemusnahan hutan bakau
untuk pelbagai projek pembangunan juga dikenalpasti menjadi punca utama kadar
hakisan pantai secara mendadak berlaku. Fenomena ini kebanyakannya terjadi di
pantai Barat Semenanjung. Hutan bakau sebenarnya berfungsi sebagai zon penampan
semulajadi (buffer zone) yang paling berkesan sekali untuk menahan
segala bentuk hakisan samada disebabkan oleh pergerakan air, ombak, arus,hujan
ribut, angin dan sebagainya. Hal ini kerana ciri-ciri kepadatan kanopinya,
sistem akar yang kompleks yang berupaya menahan/mengurangkan tenaga hakisan dan
sebaliknya  berfungsi memerangkap segala
bahan yang dibawa oleh agen-agen hakisan lalu memendapkannya. Jika hutan bakau
dimusnahkan maka fungsi ini tidak boleh dikembalikan seperti sediakala, lantas
garis pantai akan terdedah secara langsung kepada agen-agen hakisan. Selain
daripada fungsinya sebagai penahan hakisan, hutan bakau juga penting untuk
mengekalkan sistem ekologi setempat, pengimbang kitaran karbon dioksida dalam
atmosfera, mengekalkan pusingan bekalan makanan (nutrien), menjadi habitat
pelbagai jenis spesis dan mampu memelihara kualiti air.





7.             Zon pinggir pantai boleh dianggap
sebagai satu unit sistem geomorfologi yang dinamik sifatnya. Justeru itu memang
menjadi sifat semulajadi sesebuah sistem untuk sentiasa mencapai ke tahap
keseimbangan apabila elemen-elemen dalam sesebuah sistem  tersebut menerima gangguan.(self
regulation).
Dalam hal ini ketidakseimbangan kepada profil pantai akan
terjadi apabila aktiviti pengorekan pasir laut dilakukan misalnya bagi tujuan
memperdalamkan muara ataupun pelabuhan. Bagi tujuan mengimbangi profil pantai
maka agen-agen geomorfologi seperti ombak dan arus akan bertindak
menghakis,  mengaut dan mengangkut
pasir-pasir di tepi pantai untuk ditimbunkan kembali di bahagian muara yang
dikorek tadi. Ombak akan menghakis dan mengaut pasir dari bahagian dataran
pantai manakala arus pesisir akan membawa pasir-pasir tersebut untuk
dimendapkan di bahagian muara berkenaan. Akhirnya garis pantai akan terhakis
dan semakin mengundur ke daratan. Kes ini amat ketara berlaku di Pantai Kuala
Kemaman, Terengganu. Akibat kerja-kerja memperdalamkan pelabuhan Kemaman serta
muara sungai Kemaman  maka garis pantai
di sekitar kuala Kemaman itu sendiri mengalami hakisan yang teruk sehingga
meliputi kawasan petempatan nelayan. Apabila resiko hakisan boleh mengancam
keselamatan nelayan maka kerajaan negeri terpaksa memindahkan nelayan-nelayan
yang terbabit ke satu kawasan petempatan baru yang lebih selamat.





B.        Langkah Mengatasinya : Strategi
Pembangunan Lestari - Mengurangkan Kadar Hakisan di Zon Pinggir Pantai
.


1.         Pembangunan lestari adalah
satu idea pembangunan yang dilaksanakan bagi tujuan mengekalkan keadaan asal (sustainable
development)
sesuatu sumber di sesebuah kawasan agar dapat dinikmati secara
berterusan oleh generasi kini dan akan datang. Justeru itu adunan pembangunan
dengan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan secara saintifik dan sistematik
mestilah dilaksanakan di zon pinggir pantai khususnya dalam konteks mengawal
kadar hakisan yang semakin giat berlaku. Strategi pembangunan bagi mengurangkan
kadar hakisan ini boleh dilakukan melalui tiga langkah penting. Pertama,
langkah perundangan, ke dua amalan pengurusan yang cekap dan ke tiga kempen
kesedaran.


2.             Langkah perundangan melibatkan
perlaksanaan akta-akta tertentu bagi mencegah sesuatu sumber daripada mengalami
kemusnahan. Dalam konteks ini pemusnahan hutan bakau boleh dicegah melalui
penguatkuasaan undang-undang yang ada misalnya Akta Perhutanan Negara 1984.
Kawasan hutan bakau digazetkan sebagai hutan simpan kekal dan saiz hutan simpan
ini mesti diperluaskan bagi setiap negeri di Malaysia. Peristiharan hutan bakau
sebagai kawasan hutan simpan perlindungan, yang kini lebih dikenali sebagai “wetland
sanctuary
” seperti taman negara Endau – Rompin  akan mengelakkannya dari sebarang bentuk
pencerobohan. Dengan melindungi hutan bakau maka secara langsung kadar hakisan
pantai boleh dikawal secara semulajadi. Selain daripada hutan bakau, tumbuhan
hutan pantai yang lain seperti pokok rhu, pokok nipah, pokok jaras, pokok gelam
juga perlu dilindungi oleh undang-undang kerana pokok-pokok tersebut juga amat
berfungsi mengekang hakisan angin.


3.             Amalan pengurusan sumber yang cekap
juga boleh membantu mengelakkan kadar hakisan pantai. Misalnya dalam konteks
penebangan hutan bakau. Bagi kawasan hutan bakau yang dibenarkan sebagai “kawasan
usaha - hasilan
” mestilah diuruskan secara
sistem tebangan
memilih
dan diharamkan sama sekali sistem tebang -
bersih
. Pokok-pokok yang benar-benar
matang sahaja yang dibenarkan di tebang dan mengikut kadar pusingan tebangan
antara 25 hingga 30 tahun sekali. Ini memberikan peluang kepada proses
tumbesaran secukupnya kepada pokok-pokok yang lebih muda. Tunggul dan sisa
penebangan pula akan dibiarkan reput dalam kawasan hutan tersebut bagi
menggalakkan pertumbuhan anak benih yang baru berlaku, dan jika dalam tempoh
dua tahun didapati tidak berlaku pertumbuhan benih maka program penanaman
semula pokok bakau mestilah dijalankan segera dengan menanam pokok bakau yang
bernilai tinggi dari spesis Rhizophora Apiculata agar sistem paya
bakau dapat terus berfungsi seperti keadaan asal khususnya dalam konteks
mengawal hakisan pantai.


4.             Pada amnya kaedah kawalan hakisan
pantai boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu melalui kaedah penyuburan pantai
dan juga kaedah kawalan struktur. Kaedah penyuburan pantai melibatkan
usaha-uasha penanaman tumbuh-tumbuhan seperti pokok rhu dan rumput di atas
pantai atau bukit pasir (diun) agar wujud satu lapisan perlindungan daripada
agen–agen hakisan. Pokok rhu amat sesuai ditanam bukan sahaja untuk mengekang
hakisan angin tetapi juga sebagai mencantikkan lagi kawasan pantai manakala
system akar rumput pula boleh mengikat dan mengukuhkan butiran pasir ditepi
pantai. Kaedah ini boleh dikelaskan sebagai kawalan biologi.








5.             Manakala kaedah kawalan struktur
pula  melibatkan aspek kejuruteraan
pantai. Antaranya seperti pembinaan benteng konkrit, aspalt, batu,  pancang kayu, guni pasir termasuklah “
Groin dan Gabion”. Groin ialah struktur yang pendek diperbuat daripada
konkrit atau kayu yang dibina menganjur ke laut bersudut tepat dengan garis
pantai bertujuan untuk memerangkap enapan pasir yang di bawa oleh ombak dan
juga arus pesisir pantai. Manakala Gabion ialah sangkar dawai logam berbentuk
empat segi bujur yang diisi dengan batu kerikil dan diletakkan di zon ombak
pecah. Dengan itu tenaga ombak tidak seratus peratus menghempas pantai
sebaliknya akan ditahan dan diserap oleh gabion berkenaan sebelum tiba ke
pantai. Selain daripada penggunaan sangkar dawai dan kerikil, gabion juga boleh
diperbuat daripada tayar-tayar buruk yang diikat antara satu sama lain dan
direntangkan di zon ombak pecah. Fungsinya sama, iaitu untuk menahan dan
menyerap tenaga hempasan ombak agar tidak terus tiba ke pantai. Penggunaan
tayar-tayar buruk boleh bertindak sebagai tukun-tukun tiruan yang kelak  menjadi tempat pembiakan/habitat ikan. Bagi
kawasan yang agak serius kadar hakisannya maka pembinaan benteng konkrit atau
ketulan-ketulan batu yang besar boleh diletakkan di tepi-tepi pantai berkenaan
bagi mengurangkan kesan hempasan ombak ke atas pantai. Sebagai contoh sekitar
hotel Primula di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu dan di pantai pelabuhan
Kuantan di Pahang.





6.             Langkah kawalan pantai yang
berkesan seharusnya dilengkapi dengan aspek kesedaran terhadap semua lapisan
masyarakat. Zon pinggir pantai tidak seharusnya dinilai daripada aspek ekonomi
semata-mata. Nilai-nilai biologi dan estetikanya mestilah dijaga. Justeru
setiap projek pembangunan yang hendak dilaksanakan mestilah diadunkan dengan
usaha pemeliharaan dan pemuliharaan. Pengusaha harus menyedari pemeliharaan dan
pemuliharaan merupakan satu kos yang mesti dibayar. Justeru itu kajian EIA
(Environment  Impact Assesment) mestilah
dilakukan dan dipatuhi sepenuhnya sebelum semasa dan selepas projek
dilaksanakan. Masyarakat umum mesti sentiasa disedarkan melalui kempen,program
usaha sama/gotong royong, pendidikan alam sekitar khususnya menerusi media massa dan pendidikan
formal di sekolah.

1 comment:

geografi said...

salam.... saya rizalman student engineering d UTHM... saya tertarik dengan sumber2 pinggir pantai tu kat blog awak... saya mmg minat maklumat sal hakisan n pantai tersebut... so boleh ke saya nk dapat maklumat rujukan ni.. maksudnya nama buku, penulis, tahun, dri mana.. tq...kalau boleh email kat saya rezza_ego860@yahoo.com